Jumaat, 4 Mac 2011

Anwar: Kenyataan saksi 2008 dan dibekal hari ini jauh berbeza


KUALA LUMPUR, 4 Mac — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat perbezaan ketara antara dua kenyataan saksi yang diberikan oleh polis kepada pihaknya tiga tahun lalu dengan yang dikemukakan di mahkamah hari ini.
Anwar memberi keterangan bahawa kenyataan saksi 112 yang dihasilkan di mahkamah hari ini berbeza dengan salinan yang diterima oleh peguamnya Sankara Nair pada 14 November 2008 — hampir empat bulan selepas ditahan satu malam di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.
Anwar memberikan keterangan pada perbicaraan dalam perbicaraan hari ini.
“Soal saya, (kenyataan) 112 ada dua versi, yang dihantar kepada kami dan yang ditunjukkan kepada saya sekarang. Apa yang dihantar kepada saya bukan salinan asal,” kata Anwar.
Katanya muka surat yang tercicir juga mempunyai tandatangan kedua-dua Anwar dan DSP Jude Pereira.
Anwar juga berkata nama dan pangkat Pereira juga tidak disertakan dalam salinan yang diberikan kepada Sankara manakala yang diberikan oleh pendakwa raya ada nama dan pangkat Pereira.

Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata salinan kenyataan yang diberikan kepada beliau tidak mempunyai perkataan “sulit” sedangkan yang dihasilkan hari ini tertera demikian.
Justeru, peguam utama Anwar, Karpal Singh mengekori isu yang disentuh oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh ini.
“Kami mahu mengatakan bahawa kenyataan 112 yang dirakamkan oleh Jude berbeza daripada (salinan) yang diberikan kepada Sankara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan