Kami bersama 30 orang peserta berada di Jeram Linang, Pasir puteh. Kali ini kami putuskan akan trekking pada malam nanti sebab hari pun sudah hampir senja. Selesai makan malam dan solat Isyak barulah kami akan berangkat trekking meredah hutan dan bukit menuju ke Bukit Baka, Machang. Perjalanan dijangka mengambil masa 22 jam.
Setelah saya selesai berikan taklimat akhir, semua peserta diberikan nombor peribadi dari nombor 1 sehingga 30 dan selepas ini peserta akan dikenali dengan nombor untuk memudahkan pengecaman dan kiraan jumlah anggota.
Pada jam 9.00 malam kami memulakan perjalanan dengan menggunakan lampu suluh kecil dengan bateri bersaiz 2A sahaja kerana ringan dan senang di bawa. Kami pun berjalanlah dengan kaedah single file. Setelah berjalan 2 jam saya arahkan semua anggota berhenti rehat selama 8 minit sahaja. Kenapa singkat? Rahsianya adalah bila kita berjalan/mendaki jangan biarkan peluh di badan kering. Kalau peluh di badan kering, ianya akan menjadikan kita malas dan letih. Untuk mendapatkan momentum dan berpeluh kembali akan meletihkan. Kekadang kita akan cramp.
Setelah berhenti dan semua anggota kumpulan ada, semua peserta diarah untuk mengira dengan menyebut nombor peribadi yang diberikan dari 1 sehingga 30. Setelah benar-benar lengkap 30 orang peserta baharulah peserta boleh melakukan apa saja di waktu rehat yang dihadkan itu.
Setelah 8 minit saya minta semua peserta menyebut sekali lagi nombor peribadi masing-masing. Genap 30 kami pun mula berjalan semula. Setelah melepasi dua puncak bukit ada peserta yang mengadu letih dan perlukan rehat sekejap. Sekali lagi bila tiba di satu tanah rata dan agak lapang saya arahkan semua berhenti rehat dan melaungkan nombor peribadi masing-masing.
Kiraan bermula dari peserta bernombor 1 sehingga 30, tetapi saya dapati ada orang yang melaungkan nombor 31. Saya mengarahkan supaya dilaungkan sekali lagi nombor masing-masing. Peserta melaungkan lagi. Masih ada lagi nombor 31. Saya naik hairan, dari siapa pula nombor 31?
Saya mula memarahi budak-budak ini kerana main-main. Mereka semua diam.
"Siapa sebut nombor 31, dah tua macam ini pun mengira masih tak reti?" Tanya saya dengan suara yang agak kuat. Semua diam sambil berpandangan antara satu sama lain.
"Ok, kamu semua kira sekali lagi" Jerkah saya
Mereka menyebut nombor masing-masing tetapi masih ada suara yang bernombor 31. Maka fahamlah saya nombor 31 bukan dari peserta tetapi dari makhluk lain yang mungkin mengekori kami pada malam itu.
"Nombor 31, kamu diam. Jangan menyampuk bila kita orang mengira. Kalau kamu nak ikut, ikut aku dan jaga jejak aku. Jangan kacau orang lain. Aku tahu kamu siapa!" Saya berkata dengan nada suara separuh jerkah.
Selepas itu saya minta peserta mengira sekali lagi dan bilangan 1 sehingga 30 lengkap. Tidak ada lagi suara yang menyebut nombor 31.
Kami teruskan perjalanan tanpa apa-apa gangguan walau pun semua peserta tertanya-tanya antara satu sama lain siapa dia yang bernombor 31.
Saya rasa orang lain pun yang memimpin trekking/mendaki di waktu malam ada yang mendapat pengalaman begini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan